Format Ujian Penulisan UPSR

 Ujian Penulisan Bahasa Melayu adalah mata pelajaran wajib yang diambil  oleh setiap murid Tahun 6. Tempoh masa ujian ini selama 1jam 15 minit. Setiap murid dikehendaki menjawab satu soalan daripada bahagian A, B dan C.

BAHAGIAN A:  Memindahkam maklumat

1.  Untuk menjawab soalan ini, kamu haruslah meneliti dan memahami gambar atau bahan rangsangan.
2.  Fahami  idea keseluruhan tentang gambar tersebut.
3.  Kenal pasti aktiviti-aktiviti atau perkara-perkara yang digambarkan dalam gambar.
4. Bina ayat dengan selengkapnya.  Pastikan ayat-ayat kamu gramatis dan tepat dari segi struktur ayat,
    penggunaan kata, ejaan dan tanda baca.
5. Sekiranya terdapat watak tertentu yang digambarkan dalam gambar boleh namakan watak tersebut.
6.  Nomborkan ayat-ayat kamu.
7.  Setelah siap membina ayat-ayat tersebut, semak ayat-ayat kamu itu semula supaya tiada kesalahan dari
    segi ejaan penggunaan kata, struktur ayat dan tanda baca.

BAHAGIAN B: Penulisan Berformat dan Tidak Berformat.

1.  Dalam bahagian ini, kamu dikehendaki menjawab 1 soalan daripada 3 soalan yang dikemukakan.
2.  Sebelum memilih tajuk karangan, bacalah dengan teliti tajuk-tajuk karangan yang diberikan.
3. Pilih tajuk yang benar-benar kamu dapat kuasai supaya kamu dapat menghuraikan sesuatu tajuk itu
    dengan padat dan tepat.
4   Selain itu, kamu juga harus tahu bentuk dan format karangn untuk soalan yang dipilih, Jangan memilih
    tajuk karangan yang kamu tidak pasti bentuk formatnya.
5.  Untuk mengenal pasti bentuk dan format karangan, kamu disarankan agar mencari kata kunci soalan
    tersebut:
      Contohnya:
     a.   Bahaskan tajuk
     b.  Terangkan cara-cara
     c.   Bincangkan pendapat
     d.   Gambarkan
     e.   Ceritakan pengalaman kamu
     f.    Tulis sepucuk surat
     g.   Akhiri karangan
     h.   Melengkapkan karangan
6.  Sebelum menulis karangan, kamu digalakkan supaya menyediakan rangka karangan bagi menghasilkan
     karangan yang baik.
7.  Rangka karangan itu mestilah mempunyai perenggan pendahuluan, perenggan-perenggan isi dan
     perenggan penutup.
8.  Perenggan pendahuluan merupakan keterangan ringkas tentang tajuk dan mestilah menarik minat
     pembaca.
9.  Perenggan isi mempunyai beberapa perenggan dan setiap perenggan mestilah mengandungi satu isi
     disamping huraian.
10. Perenggan penutup ialah kesimpulan keseluruhan isi atau tajuk.
11.  Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.
12. Semak semula karangan kamu apabila kamu selesai menulis supaya tidak mempunyai apa-apa
      kesalahan.

BAHAGIAN C:  Membina Ulasan
1.  Soalan ini mengkehendaki kamu memberi maklum balas, memberi pandangan atau menyatakan pendapat
     tentang situasi atau persoalan yang dikemukakan dalam petikan.
2.  Kamu haruslah memahami kehendak soalan  yang diberikan berdasarkan arahan sebelum menjawab
    soalan.
3.  Kamu dikehendaki membuat ulasan dalam bentuk satu perenggan yang panjangnya tidak lebih daripada
    50 patah perkataan.
4.  Gunakan penanda wacana yang sesuai bagi menyambung isi-isi utama.
5. Setelah siap membuat ulasan, kamu perlu menyemak ulasan kamu semula. Pastikan ayat-ayat kamu
    gramatis, tepat dan tiada kesalahan tatabahasa, penggunaan kata, struktur ayaat dan tanda baca.



Contoh Gambar Bahagian A:

1.Arahan: Tulis lima ayat lengkap berdasarkan aktiviti-aktiviti dalam gambar di bawah.




1._________________________________________________

2._________________________________________________

3._________________________________________________

4._________________________________________________

5._________________________________________________


2. Arahan: Tulis lima ayat berdasarkan gambar di bawah:



1.________________________________________________

2.________________________________________________

3.________________________________________________

4.________________________________________________

5.________________________________________________




CONTOH KARANGAN CERITA:




Cerita: Kampungku dilanda banjir
Pada cuti sekolah yang lalu kamu telah pulang ke kampung. Tidak lama kemudian kampung kamu dilanda banjir. Ceritakan pengalaman kamu itu.


Pada cuti sekolah yang lalu, saya pulang ke kampung kelahiran saya di Kampung Merapoh Kuala Lipis, Pahang. Sejak tiba di kampung, hujan lebat turun tidak berhenti-henti menyebabkan kami sekeluarga berasa bimbang. Oleh sebab itu. keluarga saya mula mengemaskan barang-barang yang penting dan berharga sebagai persediaan jika terpaksa berpindah.

Akhirnya, kami dipindahkan oleh pasukan penyelamat dengan menggunakan sampan dan bot. Kami bersyukur kerana semua penduduk kampung berjaya dipindahkan ke pusat pemindahan dengan selamat walaupun berasa agak sedih melihat seluruh kampung kami telah hampir ditenggelami air. Kami hanya mampu berdoa agar air bah akan surut dengan segera dan keadaan kembali pulih seperti biasa.

Semasa berada di pusat pemindahan, kami dibekalkan dengan pelbagai barang keperluan oleh pihak kerajaan seperti makanan, air, ubat-ubatan dan pakaian. Kaum wanita pula bergotong-royong untuk menyediakan makanan. Saya berasa kurang selesa dan bosan berada di situ kerana terpaksa tidur di tempat yang terbuka, berkongsi bilik air dan sebagainya. Mujurlah saya dapat bermain dengan beberapa orang kawan sebaya.

Seminggu kemudian, banjir di kampung kami kembali pulih. Sekembali ke kampung, kami berasa sungguh sedih apabila melihat keadaan rumah yang begitu kotor dengan sampah dan lumpur. Banyak harta benda seperti kereta, binatang ternakan dan tanam-tanaman yang musnah.

Banjir yang dahsyat ini meninggalkan kenangan pahit buat semua penduduk kampung. Kami berdoa agar kejadian sebegini tidak akan berlaku lagi.




CONTOH KARANGAN AUTOBIOGRAFI:


Autobiografi: Aku Sehelai Baju
Aku dilahirkan di sebuah butik terkenal di ibu kota. Selepas dilahirkan, aku dipakaikan pada sebuah patung dan diletakkan di dalam cermin. Tanda harga yang terlekat di badanku menunjukkan RM 350.00.

Setelah lima hari berada di situ, aku telah dibeli oleh seorang gadis bernama Linda. Linda memakaiku pada majlis hari jadinya. Sebaik sahaja kawan-kawan Linda melihat diriku, mereka semua memuji kecantikan yang aku miliki.

Selang beberapa bulan, Linda ingin memakaiku sekali lagi. Apabila melihat badanku berkedut, dia mengambil seterika lalu menggosokku.

Ketika badanku diseterika, telefon berdering. Linda berlari meninggalkan aku sehingga terlupa untuk menutup suis seterika. Badanku mula terasa panas. Aku cuba menahan keperitan tetapi akhirnya aku hanya mampu menangis kerana terlampau sakit. Lama-kelamaan sebahagian badanku terbakar. 

Apabila terhidu bau badanku terbakar, Linda tergesa -gesa mendapatkanku. Namun sudah terlambat kerana aku sebahagian badanku telahpun hangus. Kini aku hanya menjadi penghuni setia almari usang.




CONTOH KARANGAN FAKTA:

Tulis sebuah karangan tentang faedah berjimat-cermat.



Berjimat-cermat Amalan Mulia 

Amalan berjimat-cermat harus dipupuk sejak dari kecil lagi. Berjimat-cermat bermaksud menggunakan apa yang kita miliki untuk perkara-perkara yang perlu sahaja tanpa pembaziran.

Banyak faedah daripada amalan berjimat-cermat antaranya ialah membolehkan kita menabung. Oleh itu, kita mestilah berjimat-cermat dalam perbelanjaan seharian, ketika menggunakan kemudahan seperti air, elektrik, dan telefon dan sebagainya. Dengan cara ini, wang itu boleh kita simpan bagi tujuan yang lebih berfaedah pada masa hadapan.

Selain itu, orang yang berjimat-cermat tidak akan membeli sesuatu tanpa perancangan teliti. Mereka menyelidiki dahulu sebelum membeli sesuatu barang supaya pembelian mereka itu berbaloi dengan wang yang telah mereka keluarkan. Pembelian yang tidak cermat boleh menyebabkan kita terbeli sesuatu yang membawa kerugian dan penyesalan.

Berjimat-cermat juga menggelakkan seseorang daripada terjebak dengan masalah hutang. Orang yang berbelanja dengan boros biasanya tidak berfikir panjang untuk berbelanja sehingga mereka sanggup berhutang. Ini menyebabkan mereka terjerat dengan masalah hutang hingga menyusahkan diri mereka sendiri.

Berjimat-cermat juga bermaksud kita menggunakan masa dengan sebaik mungkin. Elakkan daripada menangguh-nangguh sesuatu tugas dan sebagai pelajar, buatlah jadual harian agar kita dapat mengisi masa dengan sebaik-baiknya seperti mengulang kaji pelajaran dan sebagainya.

Di samping itu amalan berjimat-cermat juga menjadikan seseorang itu berdisplin tinggi. Mereka sentiasa mengambil berat tentang penjimatan dan kecermatan seperti sentiasa menutup kembali kipas selepas digunakan.

Kesimpulannya, kita perlu sentiasa berusaha untuk menjadikan amalan berjimat-cermat sebagai budaya kita. Oleh itu, yakinlah bahawa amalan ini pasti akan membawa kebaikan kepada diri sendiri.



CONTOH SOALAN BAHAGIAN C: MEMBINA ULASAN

Contoh 1

Arahan: Tulis lima pengajaran yang kamu perolehi daripada petikan di bawah. Panjang jawapan kamu hendaklah tidak lebih daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

     Nurin seorang murid tahun 6. Dia merupakan murid yang sentiasa mengambil berat tentang pelajarannya.  Setiap malam, Nurin akan menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh gurunya. Selain itu, dia juga akan mengulang kaji pelajaran sebelum tidur.  Nurin akan tidur pada pukul 10.00 malam.  Sebelum tidur, dia akan menggosok gigi dan minum susu.  Amalan ini telah dilakukan sejak dia kecil lagi.
  
     Nurin bersekolah di Sekolah kebangsaan Miri.  Setiap hari, dia ke sekolah dengan menaiki bas.  Sebelum menaiki bas, Nurin akan beratur mengikut barisan tanpa berebut-berebut.  Sebelum bas tiba, dia membaca nota-nota ringkas yang dibuat semalam.  Semasa di dalam kelas, Nurin mendengar dengan teliti setiap pengajaran daripada guru-gurunya. Dia bercita-cita untuk memperoleh 5A dalam peperiksaan UPSR yang bakal tiba nanti.


__________________________________________________________

__________________________________________________________

__________________________________________________________

_________________________________________________________

_________________________________________________________

Contoh 2.
Arahan: Tulis lima pengajaran yang kamu perolehi daripada petikan di bawah. Panjang jawapan kamu hendaklah tidak lebih daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

                                                   Duduk bersimpuh  memegang lidi,
                                                         Terlihat seekor burung di sarang,
                                                   Hidup di dunia mesti berbudi,
                                                         Agar jasa dikenang orang.

                                                  Panas terik di tengah hari,
                                                       Berpayung bersama  seorang pemuda,
                                                  Rajin membaca setiap hari,
                                                        Pasti ilmu penuh di dada.

                                                 Masuk ke hutan menjerat rusa,
                                                      Rusa kelihatan terkapai-kapai,
                                                 Jika kita rajin berusaha,
                                                      Pasti kejayaan akan dicapai.
  
                                                 Setiap malam asyik terjaga,
                                                       Kerana bermimpi duduk di gua,
                                                 Tingkah laku hendaklah dijaga,
                                                      Agar disenangi oleh semua,

                                                 Sarang merbah sarang tempua,
                                                       Banyak terdapat di atas pokok,
                                                 Hormatilah orang tua,
                                                      Agar hidup aman bahagia.


__________________________________________________________

__________________________________________________________

__________________________________________________________

__________________________________________________________

__________________________________________________________

2 comments: