Pantun satu ungkapan yang tidak asing dalam masyarakat Melayu. Saban hari kita mendengar pantun. Kini terlalu banyak jumlah lagu yang terakam dalam bentuk cd, vcd, kaset yang secara langsung memanfaatkan pantun sebagai seni katanya.
Pantun juga menjadi langgam utama dalam dendangan rakyat seperti yang terdapat dalam Boria, Dondang Sayang, Dikir Barat dan beberapa bentuk nyanyian rakyat. Malah mutakhir ini, pada nasyid yang dianggap sebagai bersifat keagamaan itu pun terdapat pantun yang digunakan dengan meluas sekali.
Selain pada nyanyian dan dendangan rakyat , pantun juga digunakan secara formal dalam majlis pinang-meminang dan majlis nikah-kahwin. Pantun juga digunakan sebagai hiasan dan bunga bahasa juru-juru acara majlis sering menggunakan satu atau dua rangkap pantun. Malah ada pemidato atau pun pembicara umum yang membuka dan menutup pidato atau pun ucapan dengan pantun.Begitulah mesra pantun dalam masyarakat.
Pantun dapat dibahagikan kepada tujuh bentuk: pantun dua baris, pantun empat baris, pantun enam baris,
pantun lapan baris, pantun sepuluh baris, pantun 12 baris, pantun 14 baris, pantun 16 baris.Bagaimanapun, umumnya pantun dibahagikan kepada empat:
1. Pantun dua baris - yang dikenali juga sebagai Pameo
2. Pantun empat baris - kwatrain
3. Pantun yang lebih daripada empat baris
4. Pantun berkait.
Selain itu juga, satu lagi pembahagian pantun Melayu boleh dibuat mengikut tema atau persoalan. Walaupun agak rumit sedikit lantaran seserangkap pantun itu tidak jelas temanya. Namun pembahagian mengikut tema ini dapat dibuat ke dalam sebelas bahagian seperti berikut:
1. pantun adat dan resam manusia
2. pantun agama dan kepercayaan
3. pantun budi
4. pantun jenaka dan permainan
5. pantun teka-teki
6. pantun kepahlawanan
7. pantun pendidikan dan nasihat
8. pantun peribahasa dan perbilangan
9. pantun kias dan ibarat
10. pantun kembara dan perantauan
12. pantun percintaan
1. Contoh: Pantun Adat dan Resam Manusia.
Banyak udang banyak garam,
Banyak orang banyak ragam.
Lain dulang lain kakinya,
Lain orang lain hatinya.
Lebat daun bunga tanjung,
Berbaju harum bunga cempaka,
Adat dijaga pusaka dijunjung,
Baru terpelihara adat pusaka.
Anak Cina bertimbang madat,
Dari Makasar langsung ke Deli,
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak terjual beli.
2. Contoh : Pantun Agama dan Kepercayaan
Banyak bulan perkara bulan,
Tidak semulia bulan puasa,
Banyak Tuhan perkara Tuhan,
Tidak semulia Tuhan Yang Esa.
Bunga kenanga di atas kubur,
Sayang selasih burung angkasa,
Apa guna sombong takbur,
Akhir badan rosak binasa.
Jangan diraba sarang lebah,
Lebah beribu berani mati,
Jangan cuba hendak bermegah,
Kerana itu perkara keji
3. Contoh :Pantun Budi
Ada ubi ada batas,
Ada budi ada balas.
Lemak tidak manis pun tidak,
Gula Melaka dari seberang,
Beremak tidak beribu tidak,
Kerana jasa dikenang orang.
Burung serindit terbang melayang,
Singgah hinggap di ranting mati,
Duit ringgit dipandang orang,
Jarang dipandang bahasa budi.
4. Contoh :Pantun Jenaka dan Permainan.
Kura-kura atas perahu,
Pura-pura tidak tahu.
Susu lemak manis,
Santan kelapa muda,
Adik jangan nangis,
Emak banyak kerja.
Lang, lang mudik,
Lang mudik sambar ayam,
Di mana kampunga adik,
Balik sana reban ayam.
5. Contoh: Pantun Teka-teki
Kalau tuan muda teruna,
Pakai seluar dengan gayanya,
Kalau tuan bijak laksana,
Biji di luar apa buahnya?
Budak-budak ramai di pekan,
Hari raya bakar petas,
Kalau tuan pandai berkias,
Apakah buah gugur ke atas?
Burung nuri burung dara,
Terbang ke sisi taman kayangan,
Cubalah cari wahai saudara,
Makin diisi makin ringan.
6. Contoh: Pantun Kepahlawanan
Apa guna kepuk di ladang?
Kalau tidak berisi padi,
Apa guna berambut panjang?
Kalau tidak berani mati.
Hang Jebat Hang Kasturi,
Budak-budak Raja Melaka,
Jika hendak jangan dicuri,
Mari kita bertentang mata.
Cahaya malam gilang-gemilang,
Kerana disinar bulan purnama,
Gajah mati meninggalkan tulang,
Manusia mati meninggalkan nama.
7. Contoh : Pantun Nasihat dan Pendidikan.
Siakap sinohong gelama ikan duri,
Bercakap bohong lama-lama mencuri.
Banyak orang pergi menjala,
Menjala udang di dalam parit,
Jagalah diri jangan tercela,
Rosak nama bangsa tercalit.
Ikan keli ikan haruan,
Ikan jalai ikan toman,
Jangan sekali dijadikan,
Sahabat handai batu loncatan.
8. Contoh : Pantun Peribahasa dan Perbilangan
Ayam sabung jangan ditambat,
Jika ditambat alah laganya,
Asam di gunung ikan di tebat,
Dalam belanga bertemu juga.
Ikan haruan memakan anak,
Anak mati ditelan bulat,
Biar mati anak,
Jangan mati adat.
Hendak belayar di Teluk Betong,
Sambil mencuba labuhkan pukat,
Bulat air kerana pembetung,
Bulat manusia kerana muafakat.
9. Contoh : Pantun Kias dan Ibarat
Dari Benta ke Pulau Rusa,
Singgah makan di Pahang Tua,
Ada masa ada ketika,
Ular lidi menelan naga.
Ramai orang di pasar Melayu,
Membeli sambal dengan kelapa,
Jangan menjual golok kayu,
Indah khabar dari rupa.
Ayam hutan terbang ke hutan,
Turun ke tanah mencari makan,
Leka memikat burung hutan,
Burung di rumah mati tak makan.
10. Contoh: Pantun Kembara dan Perantauan
Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan,
Biar jauh di negeri satu,
Hilang di mata, di hati jangan.
Ke pekan yang sekali,
Entah membeli entah tidak,
Berjalan yang sekali ini,
Entah kembali entah tidak.
Datuk Keramat pulau seberang,
Di bawah pohon kayu capa,
Jimat-jimat di rantau orang,
Bukannya tempat ibu bapa.
11. Contoh: Pantun Percintaan
Apa guna pasang pelita,
Jika tidak dengan sumbunya,
Apa guna bermain mata,
Kalau tidak dengan sungguhnya?
Dari mana punai melayang?
Dari paya turun ke padi,
Dari mana datangnya sayang?
Dari mata turun ke hati.
Jika roboh kota Melaka,
Papan di Jawa saya berikan,
Jika sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa saya berikan.
Rujukan: KUMPULAN PANTUN MELAYU
Zainal Abidin Bakar (DBP)
Boleh dijadikan panduan...
ReplyDeleteInsyaAllah. Sama-sama kita berkongsi ilmu
ReplyDelete